Friday, October 29, 2010

KEHEBATAN CINTA

Kehebatan  CINTA


“Saya akan dapat melupakan kamu juga bila sampai waktunya dan hanya masa yang akan menentukan bila itu berlaku” Begitulah cetusan rasa hati Fahmi bila mengenangkan kekasihnya yang meninggalkannya tanpa memberi sebab yang jelas dan membiarkan Fahmi dengan seribu persoalan.
Fahmi seorang pemuda yang berasal dari keluarga sedarhana di sebuah perkampungan pantai timur Sabah. Fahmi kini boleh dikira telah berjaya dalam kerjayanya dan memegang satu jawatan yang dianggap penting dalam Perkhidmatan Awam. Beliau dahulunya seorang yang periang dan suka bergaul kini berubah menjadi seorang yang suka menyendiri. Kalau dahulu Fahmi seorang dikenali di sekolah lantaran sikapnya yang peramah dan suka membantu rakan-rakannya, semuanya kini berubah di alam pekerjaannya. Fahmi kini hanya suka bersendiri dan lebih gemar membuat kerja berseorangan. Lantaran itu sikap pekerja-pekerja bawahannya boleh dikira mahu menjauhkan diri daripadanya lantaran sikapnya yang selalu serius dan sukar untuk tersenyum. Fahmi sedar akan perubahan semua itu dan Fahmi sedar akan sikapnya kini berubah tidak seperti dirinya dahulu. Fahmi cuba mengubah itu semua tetapi entah tanpa disedarinya, dia menjadi seorang yang amat sensitive dan mudah marah, berbeza dengan sikap dirinya yang sebenar. Ini semua berlaku tanpa kerelaannya lantaran sebuah peristiwa yang begitu memeritkan hatinya untuk dilalui, apatah lagi untuk dikenang.
………………………….
“hi, macam pernah jumpa, kamu kerja di Hotel Hyatt kan?” begitulah tegur Fahmi semasa bermulanya perkenalan dengan Haizah di sebuah kompleks membeli belah di Ibu kota Kuala Lumpur sewaktu dulu.
“ya, awak ni siapa” balas Haizah.

Haizah seorang wanita yang cute, comel dan manis. Berperwatakan menarik dan memiliki seraut wajah yang boleh menyejukkan mata sesiapa yang memandang. Mempunyai kulit cerah dan kelihatan seksi dengan apa jenis gaya pakaianpun yang dipakainya kerana potongan badan yang menarik. Sentiasa tersenyum dan memiliki suara yang merdu mengoda. Berperwatakan cool dan sedarhana dengan rambut panjang menghurai separas bahu. Berasal dari Perlis dan berketurunan Melayu campur Thailand. Haizah adalah anak bungso serta anak tunggal perempuan dan mempunyai 2 orang abang yang bekerja di Singapore dan Jakarta. Keluarga Haizah adalah dari golongan yang sedarhana, bapanya bekerja sebagai pemandu teksi dan emaknya membuka gerai menjual makanan di depan rumah. Kecantikan Haizah bagi Fahmi terlalu sempurna, seakan diukir sebegitu indah tanpa cacat celanya. Bagi Fahmi, Haizah adalah segala-galanya dan menjadi sumber inspirasi kepadanya. Fahmilah orang yang paling bahagia di alam ini sejak berjumpa dengan Haizah.
Sejak pertemuan itu, Fahmi dan Haizah kemudian menjadi rakan dan hanya selepas 2 minggu, Fahmi meluahkan rasa hatinya kepada Haizah dan ternyata Fahmi tidak bertepuk sebelah tangan apabila Haizah membalasnya dan menerima Fahmi menjadi pasangan kekasihnya. Bermula daripada itu, Fahmi dan Haizah sentiasa bersama bila masa terluang. Hidup Fahmi berubah menjadi bertambah indah dan manis apatah lagi bila berada disamping kekasihnya Haizah. Fahmi sentiasa tersenyum dan ceria setiap masa, semua rakan-rakan sepejabat Fahmi menyedari kegembiraan Fahmi kerana Fahmi sememangnya tidak pandai menyembunyikan perasaannya.
…………………………….
“Awak ni Fahmi, lain macam je, dah jatuh cinta ke?” Tegur Hafiz rakan sejawat Fahmi semasa Fahmi sampai di pejabat.
“Tiada le, macam biasa je, kenapa, tak boleh senyum ke?” Balas Fahmi seolah ingin menyembunyikan perasaannya daripada rakan baiknya itu.
“Aku tahu le, tak yah sembunyi-sembunyi lah dengan aku ni, aku kenal awak tu sejak awak ditukarkan kerja di sini.” Balas Hafiz.

“Ok, jom pergi kantin, nanti aku cerita” balas Fahmi.
“Awak belanja ye?” sambung Hafiz.
“No hal lah” Fahmi dan Hafiz terus beredar dari pejabat menuju ke kantin yang terletak hanya dibelakang pejabat mereka.
“Ceritalah” Desak Hafiz tidak sabar menunggu cerita daripada Fahmi sebaik tiba di kantin.
“Kalau ia pun, order lah dulu air” balas Fahmi melihat Hafiz rakan baiknya yang tidak sabar-sabar dari tadi.
“Kamu ingat tak malam kita ada function di Hotel Hyatt tu, tu yang kamu kata comel dan seksi tu” kata Fahmi memulakan cerita perkenalannya dengan buah hatinya.
“Biar betul, tak caya lah, muka macam ni laku juga ke?” Gurau Hafiz seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan rakannya.
“Memanglah tak handsome tapi macho apa?”. Mereka berdua gelak bersama dan Fahmi meneruskan ceritanya bagaimana mula perkenalannya dengan Haizah selanjutnya.
“Dah lah, banyak kerja lagi ni” “kak, petang nanti saya bayar satu kali ah” jerit Fahmi kepada makcik kantin yang duduk di kaunter dan terus beredar ke pejabat.
…………………………………….
“Bos, saya rasa macam mahu minta balik kerja di Sabahlah” Fahmi memulakan perbualan dengan majikannya semasa mereka mengadakan perbincangan tentang kerja di pejabat majikannya.
“Kenapa, kerja dengan saya tidak seronok ke?” Balas majikannya yang sentiasa sporting.
“Bukanlah bos, emak saya di kampong tiada orang yang jaga” Fahmi cuba memberi alasan lain. “Saya harapkan supaya bos menyokong pertukaran saya, surat pun saya dah buat ni, tinggal hantar saja ke pejabat pentadbiran untuk diproses, sokong ya bos” Fahmi seakan meminta simpati agar mendapat sokongan daripada majikannya.
Selang sebulan, Fahmi menerima surat arahan pertukarannya ke Sabah sebagaimana permohonannya. Dengan rasa berat hati, Fahmi menerima arahan itu kerana sememangnya terlalu banyak kenangan dan pengalaman semasa bekerja dengan rakan-rakannya termasuk majikannya yang akan ditinggalkannya.
“Terima kasih bos, segala tunjuk ajar dan nasihat bos akan saya pergunakan sebaik mungkin bila berkerja di tempat baru nanti, maafkan segala kelemahan saya sepanjang saya berkerja dengan bos” Fahmi mengucapkan kata perpisahan kepada majikannya pada akhir perkhidmatannya ditempat lama.
…………………………………..
“Nak tengok cerita apa bang” Tanya Haizah semasa beratur untuk membeli tiket wayang.
“Tak mainlah tengok cerita seram-seram B, tu best tu” jawab Fahmi kepada pertanyaan kekasihnya yang dipanggilnya “B” ringkasan kepada panggilan “Baby” sambil menunjuk kepada poster iklan wayang yang bertajuk “Everything is all about love”.
“Ingat memang nak tengok movie tu bang” balas Haizah.
“Kan, sehati sejiwa, tak cakap pun abang dah tahu apa yang B nak tengok” balas Fahmi sambil mengenggam erat tangan kekasihnya.
Lamunan Fahmi terhenti bila pintu pejabatnya diketuk.
“Bos, semak dulu fail ni, kalau nanti dah sain beritahu je” Ovilia pembantunya yang terus masuk sebaik sahaja mengetuk pintu pejabatnya sambil menghulurkan fail.
“Letak ja di sana dulu” Balas Fahmi sambil menunjukkan ke penjuru mejanya.
………………………………….
“Ha, malam ni nak makan apa B” soal Fahmi sebaik sahaja Haizah memasuki kereta semasa menjemput Haizah di rumahnya untuk keluar makan malam.

“Entah, Izah pun tak tahu, ikut abang je lah” Haizah membalas dengan membahasakan dirinya dengan singkatan nama “Izah” bila bercakap dengan Fahmi.
“Apa kata kita makan seteam-boat di tempat biasa tu” jawab Fahmi bila perasan Haizah macam mood tak baik saja. Fahmi tahu steam-boat adalah makanan kegemaran kekasihnya Haizah.
Sepanjang perjalanan di dalam kereta, Haizah membisu sahaja semacam ada yang tidak kena dan Fahmi perasan perubahan itu sudah hamper sebulan.
“Abang tengok B macam ada masalah yang disembunyikan dari abang ni, ceritalah” Fahmi memulakan pertanyaannya yang selama ini dipendam sehinggalah semasa dalam perjalanan balik dari makan barulah Fahmi berani bertanya kepada Haizah.
“Tiada apalah bang” balas Haizah seakan mengelak dari menjawab pertanyaan Fahmi.
“Kalau tiada apa-apa, takan macam ni, dalam sebulan ni pun bila abang ajak keluar, ada saja alasan, penatlah, busylah dan macam-macam lagi. Abang call pun kadang-kadang tak dapat, apa masalah B sebenarnya ni, kalau tak berterus terang dengan abang, abang pun tak tahu dimana silapnya. Apa abang ada buat salah ke?” Fahmi inginkah kepastian apakah punca Haizah seakan berubah tidak seceria dulu bila bersamanya.
“Kalau B tak cakap dengan abang, abang pun tak tahu kenapa jadi macam ni, dulu tidak macam ni, sekarang macam mau mengelak daripada berjumpa dengan abang ja. Cakaplah kalau abang ada buat salah abang minta maaf” Fahmi seakan mendesak Haizah untuk memberitahu apa sebenarnya masalah hubungan mereka.
“Bukan pasal abang lah” Haizah menjawab ringkas.
“Habis tu” soal Fahmi.
“Izah cakap tiada apa-apa, tiadalah” Haizah mengelak untuk menjawab persoalan Fahmi.



Itulah kali terakhir Fahmi berjumpa dengan kekasihnya Haizah. Sejak malam itu, hidup Fahmi berubah dan tidak seceria dulu. Puas Fahmi menghubungi Haizah namun nombor handphone Haizah tidak aktif. Fahmi telah pergi ke rumah Haizah namun Haizah dan keluarganya juga telah berpindah entah kemana. Jiran-jiran Haizah sendiri tidak tahu mereka pindah ke mana. Fahmi juga telah pergi ke Hotel Hyatt tempat Haizah bekerja di bahagian kewangan tetapi rakan-rakan Haizah memberitahu Haizah telah berhenti kerja sebulan lepas dan mereka tidak tahu Haizah di mana.
Fahmi seakan hilang akal, semua yang dilakukannya tidak sempurna dan kelam-kabut kerana asyik memikirkan kekasihnya Haizah sahaja. Fahmi tidak tahu apa punca Haizah menghilang begitu sahaja tanpa khabar berita, tanpa sebab tertentu dan tanpa mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Hati dan perasaan Fahmi benar-benar hancur dan remuk, tidak dapat digambarkan bagaimana berkecainya hati Fahmi sebaik sahaja kekasihnya menghilang begitu sahaja. Timbul pelbagai persoalan dibenak Fahmi yang tidak berjawapan, semuanya kosong bagaikan jasad tidak mempunyai jiwa. Adakah ini satu hukuman, satu cobaan, satu ujian, atau apa sahaja persoalan, Fahmi sendiri tidak mengerti. Segala kepercayaan Fahmi selama ini tentang kekuatan dan keagungan cinta suci, tercabar sehingga ke puncaknya. Apa yang Fahmi tidak mengerti, dia sendiri masih mengharap Haizah akan kembali kepangkuannya.
“Jauh termenung nampak, ingat kekasih lama ke” Teguran Afiq menyebabkan lamunan Fahmi tersentak.
“Fikir masa depan” jawab Fahmi bila menyedari kehadiran Afiq.
“Lama dah sampai” sambung Afiq kerana sememangnya mereka berjanji keluar untuk mencari ketenangan. Afiq adalah rakan sekerja baru Fahmi yang merupakan sahabatnya yang sentiasa terbuka mendengar luahan hati Fahmi semenjak Fahmi ditukarkan di Sabah.
“Baru ja, so apa plan malam ni” sambung Fahmi seakan-akan menyedari Afiq dari tadi memerhatikannya termenung sendirian.

“Apa pun, kita makan lah dulu, perut pun dah lapar ni” sambung Afiq yang sememangnya dari tadi memerhatikan Fahmi termenung sendirian. Mereka kemudian terus memesan makanan. Selesai sahaja makan, tiba-tiba sahaja Afiq mencadangkan sesuatu kepada Fahmi.
“Beginilah bro, apa kata kita nyanyi malam ni, release sikit tension tu, macam” cadang Afiq kepada rakannya.
“Best juga tu, lagi pun dah lama tak test power ni” sambung Fahmi tanda setuju dengan cadangan Afiq tadi.
“Habis nak nyanyi mana”. Soal Fahmi bila memikirkan dia tidak tahu dimana karaoke yang sesuai.
“Ikut ja lah, mesti tempat best punya” sambung Afiq sambil bangun menuju ke kereta dengan diikuti oleh Fahmi.
“Follow belakang ar” arah Afiq kepada Fahmi sambil menghidupkan injin kereta Hondanya.
……………………………………..
Kring-kring……..Handphone Fahmi berdering.
“Hello, siapa ni……” soal Fahmi sebaik sahaja dia menjawab panggilan tadi.
“Siapa ni……….!” soal Fahmi lagi bila pemanggil tadi tidak menjawab.
“Buat apa call kalau tak mahu cakap” nada Fahmi seakan marah dengan panggilan tadi yang masih enggan bercakap.
Hampir 2 minggu Fahmi menerima panggilan dari nombor yang sama tetapi enggan bercakap bila panggilannya dijawab.
Kring-kring……………
“Ha, apa lagi” jawab Fahmi bila pemanggil misteri itu menghubungi handphone Fahmi lagi.

“Assalamualaikum” pemanggil misteri itu memulakan salam dan pertama kali dia bercakap dengan Fahmi dalam telefon sejak 2 minggu lepas.
“Aku ni, Pakcik Aman” pemanggil misteri itu memperkenalkan dirinya.
“Pakcik Aman, yang mana satu ni” Soal Fahmi dengan seribu pertanyaan.
Pakcik Aman adalah Bapa Saudara Haizah, bekas kekasihnya yang menghilangkan diri tanpa berita 5 tahun lepas semasa Fahmi masih bekerja di Kuala Lumpur. Kini Fahmi gembira bekerja di Sabah sejak 5 tahun lepas dan segala kenangannya dengan Haizah hampir tersimpan jauh di sudut lubuk hatinya yang amat dalam walaupun Fahmi memang masih menyintai dan mengharapkan Haizah kembali kepangkuannya. Begitu mendalamnya cinta Fahmi kepada Haizah walaupun dia diperlakukan sebegitu rupa.
“Oh… Pakcik Aman, apa khabar pakcik” jawab Fahmi sebaik sahaja dia dapat mengingati kembali bapa saudara Haizah bekas kekasihnya itu.
“Begini Mie, lama sudah pakcik mahu berjumpa kamu ni tapi baru sekarang pakcik dapat menghubungi kamu, kebetulan pakcik ada di Kota Kinabalu ni, 2 minggu di sini kerana ada kerja sikit, malam ni boleh jumpa pakcik, ada pakcik mahu cakap” pinta pakcik Aman untuk berjumpa dengan Fahmi.
“Ok pakcik, malam ni jam 8.30 saya cari pakcik, pakcik duduk hotel mana” jawab Fahmi tanda setuju untuk berjumpa dengan bapa saudara Haizah bekas kekasihnya.
………………………………
Jam menunjukkan hampir pukul 5 petang, Fahmi merasakan begitu seksa untuk melalui saat-saat begini. Dia tahu Pakcik Aman mahu berjumpa dengannya sudah semestinya adalah berkaitan tentang Haizah. Pakcik Aman tahu bagaimana hubungan Fahmi dengan Haizah, bagaimana Haizah begitu mencintai Fahmi dan begitu pula halnya dengan cinta dan kasih Fahmi kepada Haizah yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Pakcik Aman tahu betapa terseksanya Fahmi sejak Fahmi ditinggalkan oleh Haizah. Inilah saat yang amat dinantikan Fahmi selama ini, untuk mengetahui khabar Haizah dan apa yang membuat Haizah menghilang sebelum ini.
Telah 5 tahun berlalu, dan selama itu jugalah Fahmi ditinggalkan oleh kekasihnya dengan seribu persoalan yang tidak terjawab. Malam ini akan menentukan dan pasti Fahmi akan mendapat tahu apa sebenarnya yang berlaku pada 5 tahun lalu sehingga dia diseksa sebegitu rupa. Naluri Fahmi memberitahu, ini lah saat dia mengetahui kebenaran cintanya dengan Haizah, saat yang selama ini dinantikan walaupun Fahmi akan mendapat jawapan bukannya dari Haizah sendiri, tetapi dari bapa saudara Haizah iaitu Pakcik Aman.
“Assalamualaikum pakcik” sapa Fahmi kepada Pakcik Aman sebaik sahaja Fahmi melihat Pakcik Aman duduk di sofa di lobby Hotel Hyatt Kota Kinabalu. Satu-satunya hotel yang Fahmi belum pernah jejaki selama 5 tahun berkerja di Sabah. Satu-satunya nama hotel yang begitu nostalgia kepada Fahmi.
Tanpa menjawab salam Fahmi, Pakcik Aman terus mendapatkan Fahmi dan terus mendakap erat tubuh Fahmi. Fahmi membalas pelukan Pakcik Aman sambil mata Fahmi berkaca menahan sebak dihatinya yang selama ini parah terluka. Pakcik Aman sememangnya bapa saudara Haizah yang sangat sporting dalam perhubungan Fahmi-Haizah. Dia sentiasa menyokong penuh dan merestui hubungan Fahmi-Haizah selama perkenalan Fahmi dan Haizah. Dia pernah mengatakan kepada Fahmi bahawa dia sangat sayangkan Fahmi dan amat berharap sekiranya Fahmi dapat memperisterikan Haizah. Lama juga mereka dalam keadaan begitu, pelukan kekesalan dan kemaafan dari Pakcik Aman dan pelukan melepaskan kesengsaraan dari Fahmi. Itulah perasaan masing-masing dan kelihatan juga bola mata Pakcik Aman bergenang dengan air mata.
“Maafkan pakcik Mie, sebenarnya lama sudah pakcik mencari kamu tetapi pakcik diberitahu kamu sudah pindah kerja di sini, nombor handphone kamu yang dulu pun sudah tidak aktif lagi, maafkan pakcik Mie” Pakcik Aman memecahkan kebuntuan dan saat ini Pakcik Aman tidak lagi dapat menahan air matanya dari mengalir. Dia tahu betapa Fahmi menyintai Haizah anak saudaranya dan amat tahu betapa terseksanya Fahmi kala ditinggalkan oleh Haizah.
“Pakcik tak salah apa-apa, tidak perlu minta maaf, mungkin inilah nasib saya” balas Fahmi yang sebak melihat raut wajah Pakcik Aman menahan air matanya dari terus mengalir.
“Saya tak pernah menyalahkan sesiapa, baik Izah, makcik Timah, Pakcik Osman ataupun pakcik sendiri, saya tahu segala yang berlaku adalah ketentuannya” balas Fahmi bagi menenangkan Pakcik Aman yang terlalu sebak.
“Izah apa khabar pakcik”. Pertanyaan Fahmi membuatkan Pakcik Aman tersentak. Pakcik Aman menarik nafas sedalam-dalamnya untuk menenangkan dirinya sambil mengesat bola matanya.
“Izah …………..!!!!” suara Pakcik Aman tersekat, cuba untuk tidak memberikan jawapan terus kepada Fahmi bagi menjaga hati Fahmi yang dia tahu amat terluka.
“Sebenarnya…………., lupakanlah dia Mie, pakcik datang jumpa kamu ni pun cuma mahu melihat keadaan kamu, pakcik rindu dengan kamu, kamu anak yang baik Mie, kamu berhak berjumpa dengan jodoh kamu yang lebih sesuai” jawapan Pakcik Aman membuatkan Fahmi semakin binggung. Dia telah memikirkan bahawa inilah saatnya dia mendapat jawapan kepada persoalan yang amat menyeksanya selama 5 tahun ini, saat yang dia tahu pasti akan datang jua akhirnya untuk dia mendapatkan jawapan bagi menjawab semua persoalan selama ini terbuku di hatinya.
“Mie, kamu tak akan pernah boleh berjumpa lagi dengan Izah, lupakanlah dia, dia bukan untuk kamu” jawapan pakcik Aman semakin membuat Fahmi semakin berserabut. Fahmi menarik nafas sedalam-dalamnya untuk memberi kekuatan dan ketenangan dalam dirinya. Dari raut wajah Pakcik Aman, dia faham apa yang cuba hendak dinyatakan dan cuba untuk diselindungkan oleh Pakcik Aman. Fahmi kenal sangat dengan Pakcik Aman kerana selama 3 tahun perhubungannya dengan Haizah, sememangnya Pakcik Amanlah tempat Fahmi mengadu masalah sekiranya ada masalah diantara mereka, Pakcik Amanlah tempat dia mengadu dan Fahmi sendiri telah menganggap Pakcik Aman lebih sebagai bapanya. Dia tahu Pakcik Aman tidak sampai hati untuk menceritakan perkara sebenarnya dan Fahmi tidak akan memaksa Pakcik Aman untuk menjawab persoalannya walaupun Fahmi tahu itu akan membuatkan hatinya makin parah terluka.
…………………………………

Sebak hati Fahmi mengenangkan nasibnya. Sepanjang perjalanan balik ke rumah selepas berjumpa dengan Pakcik Aman, apa yang dinantikannya selama ini nampaknya tertundah. Walaupun begitu, Fahmi tahu pasti suatu hari dia akan mendapatkan juga jawapan yang amat diharapkannya selama ini. Dia tahu pasti suatu hari dia akan berjumpa juga dengan Haizah kekasih hatinya. Sepuluh  tahun, dua puluh tahun, atau mungkin sehujung hayatnya, dia yakin dan pasti akan ada jawapan kepada persoalan yang telah menghancurkan kebahagiaannya.
………………………………….
“Izah, Aiman dan makan ke…….?” Tanya Makcik Timah kepada anaknya Haizah.
“Dah Mak, Aiman tengah tido tu” jawab Haizah.

………………………………….Tamat…………………………………………
“Cinta itu satu naluri yang asli, jujur dan indah. Ianya bisa mematahkan hati, meremukkan jiwa dan menjadikan kegembiraan itu tidak ternilai. Cinta membuatkan diri kita terasing dari alam maya dan membuatkan diri terasing dalam jiwa sendiri. Tiada sesiapa yang akan bisa lari dari cinta, tiada sesiapa yang akan bisa melupakan cinta, tiada sesiapa yang akan bisa menghalang kehadiran cinta, tiada sesiapa yang bisa berbuat apa-apa tentang cinta. Cinta tidak akan kalah dengan waktu, cinta tidak akan pernah melepaskan kita, cinta ada dimana-mana, cinta menipu dan cinta jugalah jantung. Ianya haruslah dibiarkan sahaja sebegitu kerana kita bukan siapa-siapa tanpa cinta. Cinta adalah takdir.






1 comment: