Friday, October 29, 2010

KEHEBATAN CINTA

Kehebatan  CINTA


“Saya akan dapat melupakan kamu juga bila sampai waktunya dan hanya masa yang akan menentukan bila itu berlaku” Begitulah cetusan rasa hati Fahmi bila mengenangkan kekasihnya yang meninggalkannya tanpa memberi sebab yang jelas dan membiarkan Fahmi dengan seribu persoalan.
Fahmi seorang pemuda yang berasal dari keluarga sedarhana di sebuah perkampungan pantai timur Sabah. Fahmi kini boleh dikira telah berjaya dalam kerjayanya dan memegang satu jawatan yang dianggap penting dalam Perkhidmatan Awam. Beliau dahulunya seorang yang periang dan suka bergaul kini berubah menjadi seorang yang suka menyendiri. Kalau dahulu Fahmi seorang dikenali di sekolah lantaran sikapnya yang peramah dan suka membantu rakan-rakannya, semuanya kini berubah di alam pekerjaannya. Fahmi kini hanya suka bersendiri dan lebih gemar membuat kerja berseorangan. Lantaran itu sikap pekerja-pekerja bawahannya boleh dikira mahu menjauhkan diri daripadanya lantaran sikapnya yang selalu serius dan sukar untuk tersenyum. Fahmi sedar akan perubahan semua itu dan Fahmi sedar akan sikapnya kini berubah tidak seperti dirinya dahulu. Fahmi cuba mengubah itu semua tetapi entah tanpa disedarinya, dia menjadi seorang yang amat sensitive dan mudah marah, berbeza dengan sikap dirinya yang sebenar. Ini semua berlaku tanpa kerelaannya lantaran sebuah peristiwa yang begitu memeritkan hatinya untuk dilalui, apatah lagi untuk dikenang.
………………………….
“hi, macam pernah jumpa, kamu kerja di Hotel Hyatt kan?” begitulah tegur Fahmi semasa bermulanya perkenalan dengan Haizah di sebuah kompleks membeli belah di Ibu kota Kuala Lumpur sewaktu dulu.
“ya, awak ni siapa” balas Haizah.

Haizah seorang wanita yang cute, comel dan manis. Berperwatakan menarik dan memiliki seraut wajah yang boleh menyejukkan mata sesiapa yang memandang. Mempunyai kulit cerah dan kelihatan seksi dengan apa jenis gaya pakaianpun yang dipakainya kerana potongan badan yang menarik. Sentiasa tersenyum dan memiliki suara yang merdu mengoda. Berperwatakan cool dan sedarhana dengan rambut panjang menghurai separas bahu. Berasal dari Perlis dan berketurunan Melayu campur Thailand. Haizah adalah anak bungso serta anak tunggal perempuan dan mempunyai 2 orang abang yang bekerja di Singapore dan Jakarta. Keluarga Haizah adalah dari golongan yang sedarhana, bapanya bekerja sebagai pemandu teksi dan emaknya membuka gerai menjual makanan di depan rumah. Kecantikan Haizah bagi Fahmi terlalu sempurna, seakan diukir sebegitu indah tanpa cacat celanya. Bagi Fahmi, Haizah adalah segala-galanya dan menjadi sumber inspirasi kepadanya. Fahmilah orang yang paling bahagia di alam ini sejak berjumpa dengan Haizah.
Sejak pertemuan itu, Fahmi dan Haizah kemudian menjadi rakan dan hanya selepas 2 minggu, Fahmi meluahkan rasa hatinya kepada Haizah dan ternyata Fahmi tidak bertepuk sebelah tangan apabila Haizah membalasnya dan menerima Fahmi menjadi pasangan kekasihnya. Bermula daripada itu, Fahmi dan Haizah sentiasa bersama bila masa terluang. Hidup Fahmi berubah menjadi bertambah indah dan manis apatah lagi bila berada disamping kekasihnya Haizah. Fahmi sentiasa tersenyum dan ceria setiap masa, semua rakan-rakan sepejabat Fahmi menyedari kegembiraan Fahmi kerana Fahmi sememangnya tidak pandai menyembunyikan perasaannya.
…………………………….
“Awak ni Fahmi, lain macam je, dah jatuh cinta ke?” Tegur Hafiz rakan sejawat Fahmi semasa Fahmi sampai di pejabat.
“Tiada le, macam biasa je, kenapa, tak boleh senyum ke?” Balas Fahmi seolah ingin menyembunyikan perasaannya daripada rakan baiknya itu.
“Aku tahu le, tak yah sembunyi-sembunyi lah dengan aku ni, aku kenal awak tu sejak awak ditukarkan kerja di sini.” Balas Hafiz.

“Ok, jom pergi kantin, nanti aku cerita” balas Fahmi.
“Awak belanja ye?” sambung Hafiz.
“No hal lah” Fahmi dan Hafiz terus beredar dari pejabat menuju ke kantin yang terletak hanya dibelakang pejabat mereka.
“Ceritalah” Desak Hafiz tidak sabar menunggu cerita daripada Fahmi sebaik tiba di kantin.
“Kalau ia pun, order lah dulu air” balas Fahmi melihat Hafiz rakan baiknya yang tidak sabar-sabar dari tadi.
“Kamu ingat tak malam kita ada function di Hotel Hyatt tu, tu yang kamu kata comel dan seksi tu” kata Fahmi memulakan cerita perkenalannya dengan buah hatinya.
“Biar betul, tak caya lah, muka macam ni laku juga ke?” Gurau Hafiz seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan rakannya.
“Memanglah tak handsome tapi macho apa?”. Mereka berdua gelak bersama dan Fahmi meneruskan ceritanya bagaimana mula perkenalannya dengan Haizah selanjutnya.
“Dah lah, banyak kerja lagi ni” “kak, petang nanti saya bayar satu kali ah” jerit Fahmi kepada makcik kantin yang duduk di kaunter dan terus beredar ke pejabat.
…………………………………….
“Bos, saya rasa macam mahu minta balik kerja di Sabahlah” Fahmi memulakan perbualan dengan majikannya semasa mereka mengadakan perbincangan tentang kerja di pejabat majikannya.
“Kenapa, kerja dengan saya tidak seronok ke?” Balas majikannya yang sentiasa sporting.
“Bukanlah bos, emak saya di kampong tiada orang yang jaga” Fahmi cuba memberi alasan lain. “Saya harapkan supaya bos menyokong pertukaran saya, surat pun saya dah buat ni, tinggal hantar saja ke pejabat pentadbiran untuk diproses, sokong ya bos” Fahmi seakan meminta simpati agar mendapat sokongan daripada majikannya.
Selang sebulan, Fahmi menerima surat arahan pertukarannya ke Sabah sebagaimana permohonannya. Dengan rasa berat hati, Fahmi menerima arahan itu kerana sememangnya terlalu banyak kenangan dan pengalaman semasa bekerja dengan rakan-rakannya termasuk majikannya yang akan ditinggalkannya.
“Terima kasih bos, segala tunjuk ajar dan nasihat bos akan saya pergunakan sebaik mungkin bila berkerja di tempat baru nanti, maafkan segala kelemahan saya sepanjang saya berkerja dengan bos” Fahmi mengucapkan kata perpisahan kepada majikannya pada akhir perkhidmatannya ditempat lama.
…………………………………..
“Nak tengok cerita apa bang” Tanya Haizah semasa beratur untuk membeli tiket wayang.
“Tak mainlah tengok cerita seram-seram B, tu best tu” jawab Fahmi kepada pertanyaan kekasihnya yang dipanggilnya “B” ringkasan kepada panggilan “Baby” sambil menunjuk kepada poster iklan wayang yang bertajuk “Everything is all about love”.
“Ingat memang nak tengok movie tu bang” balas Haizah.
“Kan, sehati sejiwa, tak cakap pun abang dah tahu apa yang B nak tengok” balas Fahmi sambil mengenggam erat tangan kekasihnya.
Lamunan Fahmi terhenti bila pintu pejabatnya diketuk.
“Bos, semak dulu fail ni, kalau nanti dah sain beritahu je” Ovilia pembantunya yang terus masuk sebaik sahaja mengetuk pintu pejabatnya sambil menghulurkan fail.
“Letak ja di sana dulu” Balas Fahmi sambil menunjukkan ke penjuru mejanya.
………………………………….
“Ha, malam ni nak makan apa B” soal Fahmi sebaik sahaja Haizah memasuki kereta semasa menjemput Haizah di rumahnya untuk keluar makan malam.

“Entah, Izah pun tak tahu, ikut abang je lah” Haizah membalas dengan membahasakan dirinya dengan singkatan nama “Izah” bila bercakap dengan Fahmi.
“Apa kata kita makan seteam-boat di tempat biasa tu” jawab Fahmi bila perasan Haizah macam mood tak baik saja. Fahmi tahu steam-boat adalah makanan kegemaran kekasihnya Haizah.
Sepanjang perjalanan di dalam kereta, Haizah membisu sahaja semacam ada yang tidak kena dan Fahmi perasan perubahan itu sudah hamper sebulan.
“Abang tengok B macam ada masalah yang disembunyikan dari abang ni, ceritalah” Fahmi memulakan pertanyaannya yang selama ini dipendam sehinggalah semasa dalam perjalanan balik dari makan barulah Fahmi berani bertanya kepada Haizah.
“Tiada apalah bang” balas Haizah seakan mengelak dari menjawab pertanyaan Fahmi.
“Kalau tiada apa-apa, takan macam ni, dalam sebulan ni pun bila abang ajak keluar, ada saja alasan, penatlah, busylah dan macam-macam lagi. Abang call pun kadang-kadang tak dapat, apa masalah B sebenarnya ni, kalau tak berterus terang dengan abang, abang pun tak tahu dimana silapnya. Apa abang ada buat salah ke?” Fahmi inginkah kepastian apakah punca Haizah seakan berubah tidak seceria dulu bila bersamanya.
“Kalau B tak cakap dengan abang, abang pun tak tahu kenapa jadi macam ni, dulu tidak macam ni, sekarang macam mau mengelak daripada berjumpa dengan abang ja. Cakaplah kalau abang ada buat salah abang minta maaf” Fahmi seakan mendesak Haizah untuk memberitahu apa sebenarnya masalah hubungan mereka.
“Bukan pasal abang lah” Haizah menjawab ringkas.
“Habis tu” soal Fahmi.
“Izah cakap tiada apa-apa, tiadalah” Haizah mengelak untuk menjawab persoalan Fahmi.



Itulah kali terakhir Fahmi berjumpa dengan kekasihnya Haizah. Sejak malam itu, hidup Fahmi berubah dan tidak seceria dulu. Puas Fahmi menghubungi Haizah namun nombor handphone Haizah tidak aktif. Fahmi telah pergi ke rumah Haizah namun Haizah dan keluarganya juga telah berpindah entah kemana. Jiran-jiran Haizah sendiri tidak tahu mereka pindah ke mana. Fahmi juga telah pergi ke Hotel Hyatt tempat Haizah bekerja di bahagian kewangan tetapi rakan-rakan Haizah memberitahu Haizah telah berhenti kerja sebulan lepas dan mereka tidak tahu Haizah di mana.
Fahmi seakan hilang akal, semua yang dilakukannya tidak sempurna dan kelam-kabut kerana asyik memikirkan kekasihnya Haizah sahaja. Fahmi tidak tahu apa punca Haizah menghilang begitu sahaja tanpa khabar berita, tanpa sebab tertentu dan tanpa mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Hati dan perasaan Fahmi benar-benar hancur dan remuk, tidak dapat digambarkan bagaimana berkecainya hati Fahmi sebaik sahaja kekasihnya menghilang begitu sahaja. Timbul pelbagai persoalan dibenak Fahmi yang tidak berjawapan, semuanya kosong bagaikan jasad tidak mempunyai jiwa. Adakah ini satu hukuman, satu cobaan, satu ujian, atau apa sahaja persoalan, Fahmi sendiri tidak mengerti. Segala kepercayaan Fahmi selama ini tentang kekuatan dan keagungan cinta suci, tercabar sehingga ke puncaknya. Apa yang Fahmi tidak mengerti, dia sendiri masih mengharap Haizah akan kembali kepangkuannya.
“Jauh termenung nampak, ingat kekasih lama ke” Teguran Afiq menyebabkan lamunan Fahmi tersentak.
“Fikir masa depan” jawab Fahmi bila menyedari kehadiran Afiq.
“Lama dah sampai” sambung Afiq kerana sememangnya mereka berjanji keluar untuk mencari ketenangan. Afiq adalah rakan sekerja baru Fahmi yang merupakan sahabatnya yang sentiasa terbuka mendengar luahan hati Fahmi semenjak Fahmi ditukarkan di Sabah.
“Baru ja, so apa plan malam ni” sambung Fahmi seakan-akan menyedari Afiq dari tadi memerhatikannya termenung sendirian.

“Apa pun, kita makan lah dulu, perut pun dah lapar ni” sambung Afiq yang sememangnya dari tadi memerhatikan Fahmi termenung sendirian. Mereka kemudian terus memesan makanan. Selesai sahaja makan, tiba-tiba sahaja Afiq mencadangkan sesuatu kepada Fahmi.
“Beginilah bro, apa kata kita nyanyi malam ni, release sikit tension tu, macam” cadang Afiq kepada rakannya.
“Best juga tu, lagi pun dah lama tak test power ni” sambung Fahmi tanda setuju dengan cadangan Afiq tadi.
“Habis nak nyanyi mana”. Soal Fahmi bila memikirkan dia tidak tahu dimana karaoke yang sesuai.
“Ikut ja lah, mesti tempat best punya” sambung Afiq sambil bangun menuju ke kereta dengan diikuti oleh Fahmi.
“Follow belakang ar” arah Afiq kepada Fahmi sambil menghidupkan injin kereta Hondanya.
……………………………………..
Kring-kring……..Handphone Fahmi berdering.
“Hello, siapa ni……” soal Fahmi sebaik sahaja dia menjawab panggilan tadi.
“Siapa ni……….!” soal Fahmi lagi bila pemanggil tadi tidak menjawab.
“Buat apa call kalau tak mahu cakap” nada Fahmi seakan marah dengan panggilan tadi yang masih enggan bercakap.
Hampir 2 minggu Fahmi menerima panggilan dari nombor yang sama tetapi enggan bercakap bila panggilannya dijawab.
Kring-kring……………
“Ha, apa lagi” jawab Fahmi bila pemanggil misteri itu menghubungi handphone Fahmi lagi.

“Assalamualaikum” pemanggil misteri itu memulakan salam dan pertama kali dia bercakap dengan Fahmi dalam telefon sejak 2 minggu lepas.
“Aku ni, Pakcik Aman” pemanggil misteri itu memperkenalkan dirinya.
“Pakcik Aman, yang mana satu ni” Soal Fahmi dengan seribu pertanyaan.
Pakcik Aman adalah Bapa Saudara Haizah, bekas kekasihnya yang menghilangkan diri tanpa berita 5 tahun lepas semasa Fahmi masih bekerja di Kuala Lumpur. Kini Fahmi gembira bekerja di Sabah sejak 5 tahun lepas dan segala kenangannya dengan Haizah hampir tersimpan jauh di sudut lubuk hatinya yang amat dalam walaupun Fahmi memang masih menyintai dan mengharapkan Haizah kembali kepangkuannya. Begitu mendalamnya cinta Fahmi kepada Haizah walaupun dia diperlakukan sebegitu rupa.
“Oh… Pakcik Aman, apa khabar pakcik” jawab Fahmi sebaik sahaja dia dapat mengingati kembali bapa saudara Haizah bekas kekasihnya itu.
“Begini Mie, lama sudah pakcik mahu berjumpa kamu ni tapi baru sekarang pakcik dapat menghubungi kamu, kebetulan pakcik ada di Kota Kinabalu ni, 2 minggu di sini kerana ada kerja sikit, malam ni boleh jumpa pakcik, ada pakcik mahu cakap” pinta pakcik Aman untuk berjumpa dengan Fahmi.
“Ok pakcik, malam ni jam 8.30 saya cari pakcik, pakcik duduk hotel mana” jawab Fahmi tanda setuju untuk berjumpa dengan bapa saudara Haizah bekas kekasihnya.
………………………………
Jam menunjukkan hampir pukul 5 petang, Fahmi merasakan begitu seksa untuk melalui saat-saat begini. Dia tahu Pakcik Aman mahu berjumpa dengannya sudah semestinya adalah berkaitan tentang Haizah. Pakcik Aman tahu bagaimana hubungan Fahmi dengan Haizah, bagaimana Haizah begitu mencintai Fahmi dan begitu pula halnya dengan cinta dan kasih Fahmi kepada Haizah yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Pakcik Aman tahu betapa terseksanya Fahmi sejak Fahmi ditinggalkan oleh Haizah. Inilah saat yang amat dinantikan Fahmi selama ini, untuk mengetahui khabar Haizah dan apa yang membuat Haizah menghilang sebelum ini.
Telah 5 tahun berlalu, dan selama itu jugalah Fahmi ditinggalkan oleh kekasihnya dengan seribu persoalan yang tidak terjawab. Malam ini akan menentukan dan pasti Fahmi akan mendapat tahu apa sebenarnya yang berlaku pada 5 tahun lalu sehingga dia diseksa sebegitu rupa. Naluri Fahmi memberitahu, ini lah saat dia mengetahui kebenaran cintanya dengan Haizah, saat yang selama ini dinantikan walaupun Fahmi akan mendapat jawapan bukannya dari Haizah sendiri, tetapi dari bapa saudara Haizah iaitu Pakcik Aman.
“Assalamualaikum pakcik” sapa Fahmi kepada Pakcik Aman sebaik sahaja Fahmi melihat Pakcik Aman duduk di sofa di lobby Hotel Hyatt Kota Kinabalu. Satu-satunya hotel yang Fahmi belum pernah jejaki selama 5 tahun berkerja di Sabah. Satu-satunya nama hotel yang begitu nostalgia kepada Fahmi.
Tanpa menjawab salam Fahmi, Pakcik Aman terus mendapatkan Fahmi dan terus mendakap erat tubuh Fahmi. Fahmi membalas pelukan Pakcik Aman sambil mata Fahmi berkaca menahan sebak dihatinya yang selama ini parah terluka. Pakcik Aman sememangnya bapa saudara Haizah yang sangat sporting dalam perhubungan Fahmi-Haizah. Dia sentiasa menyokong penuh dan merestui hubungan Fahmi-Haizah selama perkenalan Fahmi dan Haizah. Dia pernah mengatakan kepada Fahmi bahawa dia sangat sayangkan Fahmi dan amat berharap sekiranya Fahmi dapat memperisterikan Haizah. Lama juga mereka dalam keadaan begitu, pelukan kekesalan dan kemaafan dari Pakcik Aman dan pelukan melepaskan kesengsaraan dari Fahmi. Itulah perasaan masing-masing dan kelihatan juga bola mata Pakcik Aman bergenang dengan air mata.
“Maafkan pakcik Mie, sebenarnya lama sudah pakcik mencari kamu tetapi pakcik diberitahu kamu sudah pindah kerja di sini, nombor handphone kamu yang dulu pun sudah tidak aktif lagi, maafkan pakcik Mie” Pakcik Aman memecahkan kebuntuan dan saat ini Pakcik Aman tidak lagi dapat menahan air matanya dari mengalir. Dia tahu betapa Fahmi menyintai Haizah anak saudaranya dan amat tahu betapa terseksanya Fahmi kala ditinggalkan oleh Haizah.
“Pakcik tak salah apa-apa, tidak perlu minta maaf, mungkin inilah nasib saya” balas Fahmi yang sebak melihat raut wajah Pakcik Aman menahan air matanya dari terus mengalir.
“Saya tak pernah menyalahkan sesiapa, baik Izah, makcik Timah, Pakcik Osman ataupun pakcik sendiri, saya tahu segala yang berlaku adalah ketentuannya” balas Fahmi bagi menenangkan Pakcik Aman yang terlalu sebak.
“Izah apa khabar pakcik”. Pertanyaan Fahmi membuatkan Pakcik Aman tersentak. Pakcik Aman menarik nafas sedalam-dalamnya untuk menenangkan dirinya sambil mengesat bola matanya.
“Izah …………..!!!!” suara Pakcik Aman tersekat, cuba untuk tidak memberikan jawapan terus kepada Fahmi bagi menjaga hati Fahmi yang dia tahu amat terluka.
“Sebenarnya…………., lupakanlah dia Mie, pakcik datang jumpa kamu ni pun cuma mahu melihat keadaan kamu, pakcik rindu dengan kamu, kamu anak yang baik Mie, kamu berhak berjumpa dengan jodoh kamu yang lebih sesuai” jawapan Pakcik Aman membuatkan Fahmi semakin binggung. Dia telah memikirkan bahawa inilah saatnya dia mendapat jawapan kepada persoalan yang amat menyeksanya selama 5 tahun ini, saat yang dia tahu pasti akan datang jua akhirnya untuk dia mendapatkan jawapan bagi menjawab semua persoalan selama ini terbuku di hatinya.
“Mie, kamu tak akan pernah boleh berjumpa lagi dengan Izah, lupakanlah dia, dia bukan untuk kamu” jawapan pakcik Aman semakin membuat Fahmi semakin berserabut. Fahmi menarik nafas sedalam-dalamnya untuk memberi kekuatan dan ketenangan dalam dirinya. Dari raut wajah Pakcik Aman, dia faham apa yang cuba hendak dinyatakan dan cuba untuk diselindungkan oleh Pakcik Aman. Fahmi kenal sangat dengan Pakcik Aman kerana selama 3 tahun perhubungannya dengan Haizah, sememangnya Pakcik Amanlah tempat Fahmi mengadu masalah sekiranya ada masalah diantara mereka, Pakcik Amanlah tempat dia mengadu dan Fahmi sendiri telah menganggap Pakcik Aman lebih sebagai bapanya. Dia tahu Pakcik Aman tidak sampai hati untuk menceritakan perkara sebenarnya dan Fahmi tidak akan memaksa Pakcik Aman untuk menjawab persoalannya walaupun Fahmi tahu itu akan membuatkan hatinya makin parah terluka.
…………………………………

Sebak hati Fahmi mengenangkan nasibnya. Sepanjang perjalanan balik ke rumah selepas berjumpa dengan Pakcik Aman, apa yang dinantikannya selama ini nampaknya tertundah. Walaupun begitu, Fahmi tahu pasti suatu hari dia akan mendapatkan juga jawapan yang amat diharapkannya selama ini. Dia tahu pasti suatu hari dia akan berjumpa juga dengan Haizah kekasih hatinya. Sepuluh  tahun, dua puluh tahun, atau mungkin sehujung hayatnya, dia yakin dan pasti akan ada jawapan kepada persoalan yang telah menghancurkan kebahagiaannya.
………………………………….
“Izah, Aiman dan makan ke…….?” Tanya Makcik Timah kepada anaknya Haizah.
“Dah Mak, Aiman tengah tido tu” jawab Haizah.

………………………………….Tamat…………………………………………
“Cinta itu satu naluri yang asli, jujur dan indah. Ianya bisa mematahkan hati, meremukkan jiwa dan menjadikan kegembiraan itu tidak ternilai. Cinta membuatkan diri kita terasing dari alam maya dan membuatkan diri terasing dalam jiwa sendiri. Tiada sesiapa yang akan bisa lari dari cinta, tiada sesiapa yang akan bisa melupakan cinta, tiada sesiapa yang akan bisa menghalang kehadiran cinta, tiada sesiapa yang bisa berbuat apa-apa tentang cinta. Cinta tidak akan kalah dengan waktu, cinta tidak akan pernah melepaskan kita, cinta ada dimana-mana, cinta menipu dan cinta jugalah jantung. Ianya haruslah dibiarkan sahaja sebegitu kerana kita bukan siapa-siapa tanpa cinta. Cinta adalah takdir.






Thursday, October 21, 2010

Teori Pemilihan Kerjaya

Terdapat pelbagai teori kerjaya yang telah dibangunkan yang menjadi asas pengkaji dalam kajian mereka terhadap bidang kerjaya. Antara teori tersebut ialah teori kerjaya Islam, teori pemilihan kerjaya yang menggunakan pendekatan struktur yang memberikan penekanan kepada proses yang terlibat dalam pemilihan kerjaya yang mempunyai struktur yang amat jelas seperti teori Tret dan Faktor, teori Holland, teori Anne Roe dan teori Psikonalitik Bordin (Sidek Mohd Noah, 2002). Manakala teori Super yang diasaskan oleh Donald E.Super pula lebih dikenali menggunakan pendekatan proses.

Teori Kerjaya Islam
Teori Kerjaya Islam ini telah cuba dibangunkan oleh Sidek Mohd Noah (Sidek Mohd Noah, 2002). Teori ini melihat kerjaya sebagai satu kepentingan material dalam aktiviti kehidupan manusia di muka bumi. Tanpa asas kerjaya yang mantap dan kukuh, mungkin keseimbangan antara fitrah semulajadi manusia sama ada dari segi jasmani dan rohani atau antara mental dan emosi akan terganggu. Allah disamping menyuruh manusia beribadah kepada-Nya dengan tekun dalam masa yang sama menyeru manusia berusaha mencari rezeki yang halal. Bekerjaya adalah sunnah para Rasul terdahulu tanpa mengira taraf pekerjaan tetapi yang penting ianya adalah pekerjaan yang halal. Bekerjaya dalam Islam adalah salah satu ibadah dan merupakan amal soleh dengan syarat pekerjaan itu tidak melibatkan perkara yang haram atau maksiat, ia dilakukan dengan niat yang suci mengandungi matlamat dan objektif yang diredai Allah, dilakukan dengan tekun dan cekap, dilakukan dengan mematuhi piawian syariah Islam dan tidak mengabaikan kewajiban ibadah khusus seperti solat dan lain-lain.
Dua elemen asas dalam kerjaya Islam yang tidak dipunyai oleh teori-teori kerjaya Barat ialah kemantapan rohani dan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman. Kemantapan rohani dibentuk melalui cara niat yang baik, keazaman yang kuat, kesabaran yang tinggi, bertawakal kepada Allah dan istiqamah dalam pekerjaan. Elemen pengetahuan pula menuntut setiap individu yang bekerja mencari ilmu pengetahuan yang berkaitan kerana ilmu pengetahuan dikaitkan dengan darjat dan kualiti kerja seseorang. Islam menuntut supaya seseorang itu mengambil berat tentang kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pengurusan agar kerja yang dilakukan itu dapat dilakukan dengan baik dan sistematik. Setelah memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengalaman individu perlulah tahu tentang cara dan kaedah untuk melaksanakan pekerjaan itu. Dalam hal ini individu yang terlibat mestilah mempunyai strategi tertentu di samping kemahiran dalam bidang teknologi agar kerja yang dihasilkan itu berkualiti.
Mengenai faktor-faktor pemilihan kerjaya, pengkaji berpendapat Islam tidak menolak faktor-faktor yang telah dikemukakan oleh para pengkaji Barat. Faktor yang boleh diterima Islam ialah seperti faktor genetik, pendidikan, pembelajaran dan persekitaran. Apa yang tidak menjadi pertimbangan para pengkaji Barat ialah faktor agama. Jesteru itu, pemilihan kerjaya Islam meletakkan faktor agama sebagai penentu akhir perkembangan dan pemilihan kerjaya individu. Faktor agama menentukan sama ada sesuatu pekerjaan itu halal, haram dan syubhah. Disamping itu, teori kerjaya Islam memberi penekanan yang seimbang antara kejayaan dan kepuasan duniawi dan akhirat, bukan semata-mata kejayaan di dunia sahaja seperti mana yang ditekankan oleh teori kerjaya Barat.
Teori Tret Dan Faktor
Teori ini merupakan teori yang tertua tentang pemilihan kerjaya. Ia dikenali dengan berbagai nama, tetapi yang popular ialah teori Tret dan Faktor (Osipow, 1973). Teori ini cuba menerangkan proses pemilihan kerjaya dengan berasaskan teori perbezaan peribadi individu. Teori ini percaya setiap individu yang wujud di dunia ini adalah berbeza dan unik. Teori ini mengandaikan bahawa setiap individu mempunyai corak kemampuannya yang unik, tret-tret tertentu yang dapat diukur dengan tepat, konsisten dan selaras serta mempunyai hubungan dengan keperluan-keperluan asas dalam beberapa jenis pekerjaan. Teori ini bersifat kognatif dengan penggunannya dapat mempermudahkan proses pemilihan kerjaya terutama maklumat yang tepat tentang diri individu dapat diperolehi. Teori ini berasaskan jangkaan terhadap penilai bakat dan sikap individu serta keperluan-keperluan dalam sesuatu pekerjaan. Parson (dlm. Sidek Mohd Noah) mencadangkan bahawa pemilihan kerjaya yang baik perlu melibatkan tiga pekara iaitu kefahaman yang jelas tentang diri, pengetahuan tentang pekerjaan-pekerjaan dan taakulan yang tepat tentang hubungan antara kedua-dua fakta tersebut. Teori ini juga menegaskan bahawa tugas utama dalam proses membuat pemilihan kerjaya adalah untuk memadankan individu dengan sesuatu pekerjaan. Dengan cara ini, keperluan individu akan dipenuhi dan pencapaian kerja yang memuaskan akan terhasil.

Teori Holland.Teori Pemilihan Kerjaya Holland merupakan hasil kajian Holland terhadap personaliti yang memfokus kepada tipologi dan banyak dipengaruhi oleh Tret dan Faktor. Teori ini dibentuk berasaskan andaian bahawa minat vokasional adalah satu daripada aspek personaliti dan oleh yang demikian deskripsi tentang minat individu juga menggambarkan personaliti seseorang. Tret-tret personaliti biasanya dikenal pasti melalui kecenderungan terhadap matapelajaran sekolah, aktiviti-aktiviti rekreasi, hobi dan kerja, sementara minat vokasional boleh digambarkan sebagai ekspresi personaliti (dalam Sidek Mohd Noah, 2002)
Teori Holland telah mengketegorikan individu kepada salah satu daripada enam kategori yang diberikan oleh Holland berdasarkan pengamatannya terhadap budaya masyarakat Amerika. Enam personaliti tersebut ialah Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Conventional (C). Setiap jenis personaliti terbentuk hasil daripada interaksi antara pelbagai desakan kebudayaan dan personal termasuklah rakan sebaya, pewarisan biologi, keluarga, kelas sosial, budaya dan persekitaran fizikal daripada interaksi antara individu dengan faktor-faktor ini, individu akan menyukai aktiviti-aktiviti tertentu dan tidak kepada aktiviti-aktiviti yang lain. Seterusnya, aktiviti-aktiviti ini kian diminati dan minat ini mendorong kepada pembentukan kumpulan kecekapan tertentu.
Berdasarkan kepada enam kategori individu tersebut, Holland (Zunker, 1994, Osipow, 1973,
Sidek Mohd Noah, 2002) telah mencadangkan enam personaliti individu yang boleh dipadankan dengan pekerjaan tertentu, iaitu:

i. Realistik atau agresif- sesuai dengan kerja-kerja berat yang memerlukan kemahiran dan masculinity. Individu realistic biasanya akan memilih kerjaya yang akan membenarkan mereka mengekspresi segala ciri yang dimiliki oleh mereka. Kerjaya yang mereka pilih adalah seperti mekanik, juruteknik, tukang kayu dan lain-lain. Ciri-ciri yang dimiliki mereka ialah tidak sosial, akur, jujur, tulen, keras kepala, materialistic, keras hati, tidak menyendiri dan lain-lain.
ii. Investigatif atau intelektual - sesuai dengan pekerjaan yang lebih memerlukan pemikiran dari perbuatan seperti ahli kimia, doktor dan lain-lain. Individu investigative mempunyai ciri-ciri analitikal, berhati-hati, kritikal, kompleks, ingin tahu, rasional, menyisih diri, pendiam dan lain-lain.
iii. Artistik atau imaginative - artis, sama ada dalam bidang muzik atau seni. Individu artistic menyukai aktiviti-aktiviti yang kabur, bebas dan tidak sistematik yang memerlukan mereka memanipulasi bahan-bahan dan perkataan, disamping menghindari aktiviti-aktiviti yang eksplisit, sistematik dan berperaturan. Ciri-ciri yang mereka miliki ialah rumit, tunggang tebalik, emosional, ekspresif, idealistic, imaginative, bebas, intuitif dan lain-lain.
iv. Sosial - individu sosial akan memilih aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan memanipulasi orang lain seperti memberitahu, melatih, mendidik, memperkembang dan mengubati disamping menghindari aktiviti-aktiviti eksplisit, berstruktur dan aktiviti yang melibatkan bahan, peralatan dan mesin. Mereka mempunyai ciri-ciri seperti berpengaruh, berkerjasama, sabar, peramah, pemurah, suka menolong, idealistic, empati, baik hati dan lain-lain. Mereka meminati kerjaya seperti pendidik, ahli psikologi, pegawai kebajikan dan kaunselor.
v. Enterprising atau extrovert - individu enterprising menyukai aktiviti-aktiviti memanipulasi orang lain seperti mengarah, membujuk dan memimpin untuk mencapai matlamat organisasi dan keuntungan ekonomi disamping menghindari aktiviti-aktiviti pemerhatian, simbolik dan sistematik. Mereka mempunyai ciri-ciri seperti sukakan pencapaian, suka mengembara, mudah bersetuju, bercita-cita tinggi, angkuh, bertenaga, suka menunjuk, menggembirakan, berusaha, yakin diri dan lain-lain. Kerjaya yang mereka pilih ialah seperti ahli politik, pengurus, eksekutif dan perniaga.
vi. Conventional atau praktikal - individu conventional memiliki minat, kecekapan, persepsi diri dan mempunyai ciri-ciri seperti berhati-hati, akur, teliti, defensif, cekap, sukar dilentur, memendam rasa, tabah hati, praktikal, cermat dan lain-lain. Mereka memilih kerjaya seperti kerani, setiausaha atau operator.

Teori Holland telah memberi sumbangan dan telah diaplikasikan dengan meluas dalam pelbagai bidang seperti membantu dalam pemilihan kerjaya, penyelidikan dalam sains sosial, pendidikan, perniagaan dan perindustrian. Alat-alat ukuran untuk mengukur jenis personaliti serta aspek-aspek lain telah dirangka dan diperkenalkan seperti Vocational Preference Inventory (VPI), Self-Directed Search (SDS), Vocational Exploration and Insight Kit (VEIK) dan My Vocational Situation Inventory (MVS) (Sidek Mohd Noah, 2002).

Teori Super
Teori ini lebih mementingkan konsep kendiri dalam menentukan arah tuju individu dalam bidang pekerjaan. Menurut Super (Isaacson & Brown, 1993), konsep kendiri ini berkembang melalui pertumbuhan fizikal dan mental, pemerhatian terhadap pekerjaan, hubungan dengan orang dewasa yang bekerja, persekitaran dan pengalaman. Dimensi-dimensi ini mewujudkan perbezaan dan persamaan antara individu dan dapat membantu seseorang memilih kerjaya yang sesuai. Selain itu, Super turut menjelaskan bahawa dalam perkembangan kerjaya, individu mengambil kira faktor-faktor seperti keperluannya, kebijaksanaan, minat, nilai, sikap, keluarga, rakan sebaya, masyarakat, ekonomi negara, pasaran buruh dan sekolah.
Dalam pemilihan kerjaya ini, Super (dlm. Ishamumudin Hj. Ismail, 1997) telah menekankan wujudnya beberapa peringkat perkembangan kerjaya seperti peringkat perkembangan, penerokaan, pemantapan, persaraan dan peringkat menurun. Peringkat perkembangan menjelaskan mengenai pembentukan konsep kendiri oleh seseorang individu dengan mengenal pasti orang-orang yang signifikan dalam keluarga dan sekolah. Mereka pada peringkat ini akan menonjolkan minat dan kebolehan dengan menceburi dirinya dalam aktiviti-aktiviti sosial di sekolah atau di rumah. Super telah membahagikan peringkat ini kepada tiga bahagian, iaitu:
a. Bahagian fantasi - 4 hingga 10 tahun
b. Bahagian minat - 11 hingga 12 tahun
c. Bahagian kebolehan - 13 hingga 14 tahun

Peringkat penerokaan pula adalah peringkat di mana individu itu berada dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun. Dalam peringkat ini, Super membahagikannya kepada tiga bahagian:
Bahagian tidak tetap - 15 hingga 17 tahun
Bahagian peralihan - 18 hingga 21 tahun
Bahagian percubaan - 22 hingga 24 tahun

Dalam peringkat ini, peranan yang dimainkan oleh pihak keluarga dan sekolah adalah amat penting. Di peringkat ini, individu akan cuba-cuba untuk bekerja secara sambilan untuk menerokai dunia pekerjaan yang sebenar. Ketika ini jugalah individu mencari kerjaya yang sesuai dan yang mereka minati.

e. Teori Krumboltz, Mitchell dan Gelatt
Teori ini lebih cenderung kepada pengaruh kehidupan terhadap pemilihan kerjaya. Teori ini dikemukan oleh Krumboltz, Mitchell dan Gelatt pada tahun 1975 dan diperbaharu pada tahun 1995 oleh Krumboltz dan Mitchell sahaja (Zunker, 1986). Teori ini menjelaskan terdapat empat faktor dalam proses pemilihan kerjaya iaitu:
a. pengaruh baka dan kebolehan individu
b. persekitaran
c. pengalaman belajar
d. kemahiran menjalankan tugas.
Pengaruh baka dan kebolehan individu merupakan sifat yang diwarisi yang mungkin membataskan peluang pekerjaan individu. Pengaruh persekitaran dan peristiwa dilihat sebagai faktor yang selalunya di luar kawalan individu. Seperti banjir dan bencana alam memberi kesan kepada kondisi ekonomi yang memberi kesan kepada kerjaya. Pengalaman belajar meliputi alat-alat pengalaman dalam belajar dan yang mempunyai hubungan dengan pengalaman berlajar. Kemahiran dalam menjalankan tugas meliputi satu bentuk kemahiran individu yang telah dibangunkan seperti kemahiran menyelesaikan masalah, tabiat kerja, set minda, respon emosi dan kognatif. Faktor-faktor ini mampu membantu individu mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, mengenalpasti kemahiran sendiri dan menetapkan kebolehan individu dalam carrer-entry, contohnya dalam memilih pekerjaan dan memilih pusat pengajian atau latihan yang bersesuaian.

f. Teori Anne Roe
Teori ini telah diperkenalkan oleh Anne Roe yang merupakan seorang yang terlatih sebagai ahli psikologi klinikal. Beliau kemudiannya menceburi bidang pembangunan kerjaya melalui penyelidikan yang dilakukannya (Osipow, 1973). Teori Roe mengintergrasikan teori personaliti dengan klasifikasi pekerjaan. Teori ini menumpukan kepada dua bahagian iaitu personaliti dan klasifikasi pekerjaan bertujuan untuk melihat hubungan semua bidang pekerjaan dengan latar belakang keluarga dan pengalaman layanan ibu bapa semasa kanak-kanak. Menurut Roe (Zunker, 1986), pengalaman awal kanak-kanak di rumah bersama ibu bapa merupakan asas kepada pembentukan personaliti dan sikap individu terhadap pemilihan termasuklah pemilihan kerjaya. Kanak-kanak menjadikan peranan dan tingkah laku ibu bapa sebagai model peranan dan tauladan. Teori pemilihan kerjaya Roe menyenaraikan tiga faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya individu. Faktor-faktor tersebut ialah latarbelakang genetik, pengaruh tenaga psikik serta pengaruh genetik dan hieraki keperluan individu (Sidek Mohd Noah, 2002).
Menurut Roe (dlm. Sidek Mohd Noah, 2002, Osipow, 1973), faktor latar belakang genetik mempengaruhi minat, kecerdasan, sikap dan personaliti individu yang akhirnya akan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang. Selain itu, ia turut mempengaruhi sifat fizikal individu seperti ketinggian, kecantikan dan kecacatan individu. Individu yang rabun warna sudah tentu tidak sesuai untuk menjadi ahli kimia.
Manakala faktor pengaruh tenaga psikik pula merupakan perkembangan keupayaan khas seseorang individu ditentukan oleh ke arah mana tenaga psikik diperkembangkan di luar kawalan atau tanpa sedar. Arah perkembangan ini pula terlebih dahulu ditentukan oleh bentuk kepuasan dan kekecewaan yang dialami oleh individu pada zaman kanak-kanak. Pada peringkat kanak-kanak, keperluan yang paling asas ialah keperluan untuk rasa dimiliki dan ini akan kekal sebagai elemen-elemen tidak disedari oleh individu tersebut. Keperluan tidak sedar ini akan membentuk tenaga psikik dan seterusnya akan mempengaruhi bidang kerjaya individu.
Pengaruh faktor genetik dan perkembangan hieraraki keperluan mempengaruhi pemilihan kerjaya individu. Antara keperluan utama yang dikenal pasti oleh Maslow ialah keperluan fasiologikal, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan kesempurnaan kendiri. Apabila keperluan asas telah dipenuhi, keperluan yang lebih tinggi terbentuk dan keperluan ini akan terus meningkat sehingga mencapai keperluan yang paling tinggi iaitu kesempurnaan kendiri. Keperluan yang kuat untuk memenuhi sesuatu keperluan merupakan sumber motivasi yang sangat kuat yang akan menggerakkan individu.
Roe (Zunker, 1986) telah mengklasifikasikan kerja kepada dua kategori utama iaitu person oriented dan non-person oriented. Pekerjaan yang bersifat person oriented adalah seperti perkhidmatan, hubungan perniagaan, pengurusan (pengurusan dalam kerajaan, industri, perniagaan), budaya secara umum (mengajar, menteri, wartawan), keseniaan dan persembahan. Manakala pekerjaan yang bersifat non-person oriented pula ialah pekerjaan yang berkaitan teknologi, kerja-kerja luar (pertanian, perhutanan, perlombongan) dan sains. Pemilihan kerjaya tersebut mengikut Roe ditentukan oleh tahap keupayaan individu dan laterbelakang sosio-ekonomi. Kemuncak kepada hubungan antara anak dan ibubapanya merupakan faktor pengerak utama keinginan minat dan sikap yang kemudiannya mengrefleksikan pemilihan kerjaya seseorang.

What

Beautiful morning but full with.....

Saturday, August 21, 2010